Kelebihan Kad Kredit Berbanding Tunai

Tahukah anda, dalam beberapa situasi, membuat pembayaran menggunakan kad kredit lebih baik berbanding menggunakan tunai? Untuk tujuan keselamatan, keselesaan, dan juga pelbagai faedah lain, ketahui mengapa lebih ramai gemar menggunakan kad kredit berbanding tunai.

Bagaimana Kad Kredit Berfungsi?

Sebelum kita masuk ke tajuk kelebihan menggunakan kad kredit sebagai langkah pembayaran yang lebih selamat berbanding tunai, fahami bagaimana kad kredit berfungsi. Kad kredit mula diperkenalkan untuk kegunaaan umum sekitar 1950-an, apabila BankAmericard dikeluarkan oleh Bank of America. Sejak itu, kad kredit telah menjadi alternatif yang popular sebagai langkah pembayaran. Namun, sejak kebelakangan ini, kad kredit telah menerima sentimen negatif disebabkan oleh pelbagai skim penipuan.

Kad kredit merupakan perkhidmatan dari institut kewangan yang memudahkan pengguna meminjam wang. Tetapi, wang yang dipinjam itu perlu dibayar dalam tempoh tertentu yang telah dipersetujui. Jika tidak, anda akan dikenakan kadar faedah yang tinggi. Di Malaysia, tempoh bayaran balik tersebut ialah 20 hari, dan ini merupakan konsep yang masih tidak difahami ramai.

Menurut laporan Finance Matters: Understanding Gen Y yang dikeluarkan oleh Asian Institute of Finance, seramai 47% Gen Y terikat dengan hutang kad kredit yang tinggi, 70% dari Gen Y yang memiliki kad kredit hanya membayar bayaran minima bulanan, dan 45% tidak membuat bayaran tepat pada masanya.

Dari laporan tersebut, terdapat trend berbahaya dalam penggunaan kad kredit yang salah. Jadi, sebelum anda memohon kad kredit, pastikan anda boleh membuat bayaran bulanan lebih dari jumlah minima.

Mengapa Kad Kredit Lebih Bagus Berbanding Tunai?

Lebih selamat untuk dibawa kemana-mana

Jika wang tunai anda hilang atau dicuri, peluang untuk anda mendapatkannya kembali amat tipis. Tetapi, jika kad kredit anda hilang atau dicuri, anda masih boleh untuk mengawal keadaan. Langkah pertama, anda perlu membuat laporan polis dengan segera jika kad kredit anda hilang atau dicuri, dan hubungi pihak bank untuk menghalang kad tersebut dari digunakan. Jadi, jika pencuri ingin menggunakan kad anda, anda akan dilindungi.

Klausa 13.2 dari panduan penggunaan kad kredit Bank Negara menyatakan bahawa pengguna kad kredit tidak perlu membayar lebih dari RM250 untuk transaksi kad kredit akibat dari kecurian atau hilang, dengan syarat anda membuat laporan segera kerana klausa tersebut turut menyatakan “jika pemegang kad tidak bertindak sewenag-wenangnya atau tidak gagal untuk melaporkan kehilangan kad kredit kepada pengeluar kad kredit dengan segera.” Anda juga boleh membuat aduan untuk mengelakkan dari perlu membayar sebarang transaksi yang berlaku ketika kad kredit anda hilang.

Pilihan yang lebih baik ketika melancong

Melancong keluar negara, terutamanya negara yang menggunakan bahasa asing boleh menjadi pengalaman yang menyukarkan. Dengan masalah untuk berkomunikasi, anda mungkin boleh ditipu jika membuat bayaran dengan tunai jika anda tidak mahir dan biasa dengan wang yang digunakan di sana. Lebih baik untuk anda membawa hanya sedikit wang tunai ketika melancong, dan gunakan kad kredit untuk pembayaran  untuk melindungi perbelanjaan anda.

Ia lebih mudah, dan sesetengah kad kredit turut menawarkan mata ganjaran tinggi untuk perbelanjaan yag dilakukan diluar negara. Menggunakan kad kredit turut memudahkan anda supaya tidak perlu membawa mata wang lebih dari negara lain.

Lebih Mudah

Bayaran dengan kad kredit bermakna anda tidak perlu membawa wang yang banyak, terutamanya ketika hendak membuat pembayaran dengan jumlah yang besar. Bukan itu sahaja, jika anda menggunakan kad kredit, bayaran yang tinggi boleh dibayar dengan pelan pembayaran ansuran, tanpa sebarang faedah untuk memudahkan perbelanjaan anda.

Bayaran dengan kad kredit juga memudahkan anda mempunyai rekod dan memeriksa kembali perbelanjaan anda, kerana ianya akan direkod dalam penyata bulanan kad kredit.

Faedah-faedah lain

Sebagai permulaan, banyak kad kredit menawarkan rebat tunai atau mata ganjaran bagi setiap RM1 yang anda belanjakan. Jadi, anda boleh menjimatkan wang dari rebat yang anda peroleh atau mengggunakan mata ganjaran untuk dapatkan barangan atau baucer. Sesetengah kad kredit juga menawarkan diskaun di hotel dan restoran.

Jika anda memiliki kad kredit premium, anda juga akan dapat ganjaran meliputi perlindungan insurans pelancongan, akses ke ruang plaza premium dan Air Miles yang membolehkan anda mendapat tiket penerbangan percuma!

Tips untuk Memaksimakan Keselamatan Kad Kredit Anda

Peka Dengan Perkembangan Terkini Kad Kredit Anda

Sindiket penipuan merupakan sebab utama ramai takut untuk menggunakan kad kredit. Untuk menggunakan kad kredit dengan lebih selamat, pertama anda perlu pastikan kad anda telah bertukar ke kad kredit dengan PIN.

Seterusnya, sebaik sahaja kad kredit anda tamat tempoh dan anda mendapat kad kredit yang baharu, patahkan kad kredit lama anda pada bahagian magnetiknya sebelum membuang atau memulangkan kad tersebut ke bank. Hal ini kerana bahagian tersebut menyimpan semua maklumat sensitif kad kredit anda.

Jangan Layan Panggilan atau E-mail dari “Bank”

Kebiasaannya, bank hanya akan menghubungi anda jika anda membuat pembelian dengan nilai yang tinggi bagi memastikan kad anda tidak digunakan sewenang-wenangnya. Bank Negara atau bank pengeluar kad kredit anda TIDAK akan menghubungi anda untuk dapatkan maklumat kad kredit anda untuk “pengesahan”, terutamanya 3 digit yang dibelakang kad anda. Jika anda menerima panggilan dari individu yang mengaku sebagai pegawai bank untuk lakukan pengesahan kad kredit anda, JANGAN beri sebarang maklumat.

Perkara yang sama juga perlu dipraktikkan jika anda menerima e-mail yang tidak kelihatan sahih dan mencurigakan dari bank . JANGAN klik sebarang link dari e-mail tersebut atau membalas. Ia mungkin merupakan phishing email yang akan memperdaya anda untuk memberikan maklumat peribadi. Jika anda menerima e-mail seperti berikut, lupuskan dengan segera dan laporkan ke pihak bank.

Sentiasa berwaspada

Semasa melakukan pembayaran menggunakan kad kredit, semak kad kredit sebaik sahaja ia dipulangkan kepada anda. Ada kemungkinan kad tersebut bukan kad anda, dan ditukarkan ke kad yang telah tamat tempoh (ini merupakan satu modus operandi  yang biasa dilakukan dalam pencurian kad kredit). Simpan resit pembelian anda untuk memudahkan anda memeriksa transaksi terhadap penyata bulanan.

Artikel ini Kredit Kepada Amin Don ( www.comparehero.my )

 

Leave a Reply

%d bloggers like this: